Luar Negara

Yahudi terus ceroboh al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Israel yang diselubungi kemelut politik selepas Perdana Menteri Ariel Sharon masih koma akibat serangan angin ahmar, tetap meneruskan usahanya untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa bagi membina rumah ibadat ketiga Yahudi di kompleks berkenaan.

Ini didedahkan Yayasan al-Aqsa yang mentadbir tempat suci Islam di Palestin, semalam.

Dalam kenyataannya itu, Yayasan itu mendakwa, rejim Zionis itu kini mempercepatkan usaha memusnahkan masjid berkenaan.

“Mereka sememangnya berazam melakukannya. Malah kerajaan Tel Aviv itu turut berusaha mendapatkan sokongan antarabangsa bagi tujuan itu,” kata kenyataan itu.

Selain itu dalam perkembangan berkaitan, pertubuhan Yahudi yang dikenali Kajian Israel Institut Al-Aqsa (QIIS) kelmarin mengesyorkan kerajaan Zionis dan Pihak Berkuasa Palestin bersetuju dengan cadangan membenarkan pembabitan pihak asing bagi pentadbiran tapak sejarah dan suci di Baitulmaqdis.

Syor institusi itu terkandung dalam dokumen yang akan dikemukakan pada persidangan keenam Kongres Harzelya Zionis pada 21 hingga 24 Januari ini.

Persidangan itu mendapat liputan meluas kerana dihadiri sekurang-kurangnya 300 pakar keselamatan, strategik, politik, ekonomi dan sosial Israel, Amerika Syarikat dan Eropah. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home