Luar Negara

Barat usah buli hak Iran

Teheran 14 Jan. - Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad menegaskan, negaranya berhak memiliki teknologi nuklear tetapi tidak berminat untuk memperoleh senjata-senjata nuklear.

``Kami telah berulang kali mengatakan bahawa Iran tidak memerlukan senjata nuklear.

``Kami merupakan negara bertamadun. Mereka yang mahu menyelesaikan semua masalah dengan tindakan ketenteraan dan membuli merupakan mereka yang mahu memiliki senjata,'' kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

``Berdasarkan peraturan agensi nuklear dan NPT (Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear), semua negara boleh memiliki teknologi nuklear dan tiada alasan atau strategi-strategi yang boleh menghalang hak-hak ini, malah pemeriksaan tidak harus menghalang mana-mana negara daripada melaksanakan hak mereka,'' kata beliau.

``Beberapa negara Barat yang memiliki senjata nuklear mempersoalkan Iran, malah dengan adanya pemeriksaan dan penyeliaan tidak disangka, tiada bukti terhadap Iran,'' tegas beliau.

Tambah beliau, pihak-pihak berkenaan menganggap ada kuasa untuk menafikan hak-hak Iran dalam soal pemilikan teknologi nuklear.

Semalam Iran mengancam akan menamatkan semua kerjasama sukarela dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) jika Iran dirujuk kepada Majlis Keselamatan berhubung dengan program nuklearnya.

Menurut Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki, negara-negara Eropah akan kehilangan peluang untuk berurusan dengan Teheran jika ancaman merujuk Teheran kepada Majlis Keselamatan berlarutan.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat berkata, isu mengheret Teheran ke Majlis Keselamatan turut dibangkitkan oleh Setiausaha Negaranya, Condolezza Rice ketika pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin China semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Sean McCormack, Rice mengadakan perbincangan mengenai isu berkenaan dengan Menteri Luar China, Li Zhaoxing dan Menteri Luar Brazil, Celso Amorim.

Bagaimanapun, kerajaan China menurut dutanya ke PBB, Wang Guangya, kelihatan enggan bersetuju dengan cadangan Rice itu.

Katanya, sebarang tindakan mengheret Teheran ke Majlis Keselamatan hanya akan merumitkan ketegangan yang timbul sekarang dan mungkin menyebabkan Teheran bersikap lebih keras. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home