Luar Negara

Keganasan domestik pasangan Melayu meningkat

SINGAPURA: Semakin ramai keluarga atau pasangan Melayu Singapura yang dirujuk ke pusat khidmat keluarga kerana terbabit dalam kes keganasan rumah tangga.

Akhbar Berita Harian melaporkan, biarpun kes membabitkan keluarga Melayu masih rendah berbanding kaum lain, kes keganasan itu secara keseluruhannya didapati meningkat berbanding beberapa tahun sebelumnya.

Mengikut statistik Pusat Alternatif Keganasan (PAVe), sebuah badan yang pakar dalam kes keganasan, kes membabitkan pasangan Melayu yang diterimanya semakin meningkat.

Jumlah itu termasuk 122 kes atau bersamaan 18 peratus daripada 660 keseluruhan kes yang dirujuk kepadanya bagi tempoh April 2004 hingga Mac 2005.

Ini berbanding cuma 73 kes atau 13 peratus kes Melayu yang diterimanya dirujuk antara April 2003 dan Mac 2004.

“Majoriti kes membabitkan keganasan yang dilakukan ke atas pasangan masing-masing.

“Malah, ada kes yang mana isteri mendera suami iaitu kira-kira 6 peratus dan bakinya kes deraan antara adik beradik atau pasangan kekasih,” kata jurucakap PAVe, Amran Jamil.

“Tetapi, bilangan kes keganasan di kalangan Melayu masih rendah dibandingkan kaum lain. Ini mungkin disebabkan struktur keluarga masyarakat Melayu yang biasanya rapat dan mempunyai sistem sokongan yang padat menyebabkan mereka lebih selesa mengadu dengan keluarga sendiri,” katanya.

Pengarah Pusat Khidmat Keluarga (FSC) PPIS Jurong, Mohd Ali Mahmood, 30, berkata pihaknya mencatat peningkatan kes dirujuk dari mahkamah, tetapi terpaksa dihadkan jumlah yang diambil disebabkan berdepan masalah kekurangan kakitangan.

Bilangan kes kaunseling mandatori yang dirujuk kepada badan itu adalah 33 sepanjang 2003, 28 (2004) dan 21 kes tahun lalu (sehingga November). Kes itu pula lazimnya membabitkan kejadian suami mengganas ke atas isteri. – Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home