Luar Negara

Masa Depan Palestin: Antara HAMAS Dan Fatah

Oleh MASZLEE MALIK

Ketika lawatan Javier Solanar, Setiausaha Hubungan Luar Kesatuan Eropah (EU) ke Gaza dan juga Refah yang kini dikuasai oleh pihak berkuasa Palestin (PA), beliau telah membuat satu kejutan. Kejutan beliau bukan hanya kepada rakyat Palestin, malah kepada masyarakat dunia.

Bagaimana tidak, buat pertama kali, Kesatuan Eropah yang kononnya memperjuangkan semangat demokrasi berdasarkan kebebasan, keadilan dan juga persaudaraan telah mencabuli prinsip asas demokrasi sendiri melalui kenyataan yang telah dibuat oleh Solanar. Ia, sepertimana yang telah dinyatakan oleh Presiden PA, Mahmoud Abbas sebagai kenyataan yang mencampuri urusan dalaman rakyat Palestin dan juga menghalang rakyat Palestin daripada membuat pilihan mereka. Apakah kenyataan tersebut?

Kenyataan tersebut adalah ugutan beliau terhadap rakyat Palestin menjelang pilihanraya legaslatif mereka yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari 2006. Beliau menggugut, jika HAMAS yang merupakan pilihan utama rakyat Palestin di waktu ini memenangi pilihanraya tersebut, EU akan menghentikan semua bantuan kewangan mereka kepada PA. Apa yang berlaku sebenarnya adalah di luar jangkaan, kerana EU, pada awalnya telah berhasrat mengadakan dialog dengan HAMAS hasil dari usaha tidak kenal henti Alistair Crook, mantan ketua ejen perisikan British di Timur Tengah. Khabar-khabar tersebut semakin hampir menjadi kenyataan, terutamanya apabila wakil-wakil EU melalui Crook telah bertemu dengan para pimpinan HAMAS secara rahsia pada awal tahun 2005 dan menyatakan kesediaan mereka untuk menerima HAMAS sebagai rakan runding jika mereka berjaya di dalam pilihanraya legaslatif yang bakal menjelang.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang tidak demokratik Solanar ini bukanlah sesuatu yang terlalu pelik lantas menggambarkan pendirian sebenar EU, tetapi lebih merupakan hasil dari tekanan yang diterima oleh EU dari rejim Zionis Israel dan juga Amerika Syarikat (AS). Seperti yang telah dimaklumi, sebelum Solanar, Condoleeza Rise, yang mewakili Rumah Putih telah memberikan amaran bahawa AS akan menghentikan semua bantuan kewangan kepada PA dan rakyat Palestin jika HAMAS memenangi pilihanraya tersebut.

Sebelum itu, AS bertindak lebih kejam dan juga anti-Demokratik apabila mereka cuba untuk menghalang HAMAS daripada terlibat di dalam pilihanraya berkenaan. Apabila tekanan mereka gagal, kerana dikecam oleh rakyat Palestin dan juga Mahmoud Abbas sendiri, mereka beralih pula kepada pilihan kedua yang juga bersifat anti-Demokrasi.

HAMAS masa depan Palestin?
Pada 26 Disember 2005, Universiti Najah, di Nablus telah menjalankan kaji selidik terhadap pandangan umum ( public opinion) berhubung pilihanraya yang bakal berlangsung nanti. Sebanyak 31.4% mengatakan mereka akan memilih calon-calon HAMAS sewaktu pilihanraya tersebut. 26.8% pula memilih calon-calon di dalam senarai Marwan al-Barghouti, manakala 17.7% sahaja yang akan memilih calon-calon dari senarai Mahmoud Abbas mewakili gerakan Fatah.

Kajian yang dilakukan di Tebing Barat ini memberikan impaknya yang tersendiri. Pertamanya, ia dilakukan di dalsebulan menjelang berlakunya pilihanraya, dan yang keduanya, ianya dilakukan ke atas responden yang mana 40% daripada mereka adalah simpatisan kepada Fatah, dan hanya 25% daripada simpatisan HAMAS, dan selebihnya daripada pelbagai fraksi yang lain. Hasil kajian ini seakan mengiyakan tanggapan kebanyakan media barat, peluang HAMAS untuk meraih lebih daripada 40% kerusi di dalam majlis legaslatif PA dan seterusnya menerajui PA adalah cerah.

Pilihanraya perbandaran pusingan keempat yang dijalankan di bandar-bandar utama Tebing Barat sebulan sudah juga telah menunjukkan bagaimana HAMAS telah mencatatkan kemenangan-kemenangan besar di bandar-bandar tersebut. Manakala Fatah sebagai parti pemerintah pula hanya memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di kampung-kampung yang kebanyakan calon HAMAS tidak diturunkan.

Apa yang lebih memerajatkan lagi ialah kemenangan HAMAS di bandar-bandar yang dikenali sebagai kubu Fatah buat sekian lama seperti Jenin, Nablus, malah di Ramallah yang merupakan tempat asal Arafat. Kemenangan ini juga telah menafikan pungutan suara pra-pilihanraya pusingan keempat yang dijalankan oleh "Markaz Dirasaat al-Bahthiyyah wal Mahsiyyah" di Ramallah dan juga kajian yang dijalankan oleh Universiti Beir Zeit. Kedua-dua institusi tersebut meramalkan Fatah akan memenangi lebih 50% daripada undi popular, manakala HAMAS hanya akan meraih 30% sahaja. Apabila keputusan diumumkan tenyata undi popular HAMAS mencatatkan 49.8%, manakala Fatah hanya berjaya meraih 20% sahaja.

Mengapa HAMAS ?: Analisis Barat
Menurut para penganalisis politik barat, populariti HAMAS melonjak kerana dua perkara. Faktor pertama ialah kehilangan Yaser Arafat yang merupakan ikon perjuangan Palestin. Kehilangannya merupakan satu kehilangan besar bagi Fatah. Rakyat Palestin yang kehilangan Arafat bagaikan tercari-carikan pengganti beliau.

Mahmoud Abbas yang berusia 70 tahun itu dilihat tidak dapat menandingi populariti Arafat yang di awal penglibatannya di dalam Fatah dilihat sebagai seorang tokoh perjuangan bersenjata yang amat lantang dan berani. Abbas juga bukan sahaja dilihat lemah oleh rakyat Palestin secara keseluruhannya, malah oleh para pendokong Fatah sendiri. Tidak hairanlah para pemuda Fatah ramai yang beralih mendokong inspirasi perjuangan tokoh muda mereka, Marwan al-Bargouthi yang kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di dalam penjara Zionis.

Di kala Fatah ketandusan kepimpinan, HAMAS yang telah mengorbankan ramai di antara pemimpin-pemimpin mereka untuk perjuangan kemerdekaan Palestin dilihat sebagai potensi yang amat bersinar. Mana tidaknya, walaupun dua tokoh utama mereka, Syeikh Ahmad Yassin dan Dr Abdul Aziz al-Rantisi dibunuh, dan puluhan pimpinan yang lain mendahului mereka seperti Dr Salah Syahadah, Dr Ibrahim Maqadmah, Ismail Abu Haniyeh dan lain-lain, mereka tetap mempunyai pelapis dan tokoh-tokoh yang jauh lebih berkarismatik berbanding para pimpinan Fatah.

Tokoh seperti Khaled Mesh'al, Sami al-Zuhri, Mahmoud Zahar, Sami Khatir, Ibrahim Ghousyah, Hassan Yousef dan lain-lain masih lagi menjadi pilihan rakyat Palestin. Mungkin kerana perjuangan HAMAS yang tidak bercirikan "paksi individu" ( individual centric) telah berjaya menjadikan mereka begitu dinamik.

Faktor kedua yang sering dibawa oleh media barat juga adalah faktor serangan bom berani mati (baca: Berani Syahid) yang sering dilakukan HAMAS telah berjaya meraih sokongan majoriti rakyat Palestin. Analisis ini agak keterlaluan dan tidak berdasarkan fakta yang betul. Jika dilihat, HAMAS semenjak 2004 lagi sudah tidak giat melancarkan serangan seumpamanya. Kebanyakan serangan-serangan seumpama itu hanya dilakukan oleh kumpulan Jihad Islamiy dan juga sayap ketenteraan Fatah, "Briged al-Aqsa".

HAMAS lebih banyak menumpukan kepada serangan ke atas pos-pos kawalan tentera, dan yang paling berjaya adalah serangan " Amaliyyat al-nafaq" pada awal 2005 yang telah berjaya mengorbankan ramai tentera Zionis apabila mereka berjaya menggali terowong dan kemudiannya muncul di bawah salah sebuah pusat kawalan tentera Zionis di Gaza. HAMAS juga semenjak tahun 2004 lebih banyak menumpukan kepada serangan roket-roket al-Qassam buatan mereka yang banyak menyebabkan kemusnahan di pihak Zionis.

Walau bagaimanapun, isunya bukanlah serangan berani mati ataupun serangan roket, isunya di sini ialah metod penentangan ( Intifadah) yang dipelopori oleh HAMAS telah dilihat sebagai satu-satunya cara untuk melawan penjajahan Zionis di atas muka bumi mereka. Kegagalan Arafat bersama Oslo 1993 beliau dan juga pengunduran Zionis (Indihaar ) dari bumi Gaza telah membuktikannya. Maka, rakyat Palestin yang mahukan kemerdekaan bumi mereka dan bukannya janji-janji palsu Zionis, mahukan pihak yang lebih berwibawa untuk membawakan kemerdekaan kepada mereka.

Realiti Sebenar

HAMAS yang diramalkan menjadi pemenang utama di dalam pilihanraya legaslatif Palestin sememangnya mempunyai kekuatan mereka yang tersendiri. Antaranya, sepertimana yang sering disebutkan hatta oleh media barat sekalipun, usaha kebajikan yang dilakukan oleh gerakan tersebut. Tiada sesiapa pun yang dapat menafikan usaha kebajikan yang dilakukan oleh HAMAS untuk rakyat Palestin.

Ketelusan mereka di dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, samada yang hidup di dalam kem-kem pelarian mahupun yang tinggal di kawasan-kawasan selain kem pelarian tidak diragui oleh mana-mana pihak. Keadaan ini telah memberikan kredit yang tidak terhingga kepada HAMAS, di waktu tokoh-tokoh Fatah dan juga para aktivis mereka dikenali dan diketahui oleh rakyat Palestin dan juga dunia sebagai golongan yang korup dan pecah amanah.

HAMAS juga dilihat sebagai potensi untuk memerintah rakyat Palestin kerana rakyat Palestin inginkan perubahan pada pentadbiran PA yang sepertimana dimaklumi dunia, dan sepertimana yang disifatkan oleh mendiang Edward Said sebagai lebih korupsi daripada parti ANC pimpinan Mandela. Kematian Arafat telah mendedahkan segala-galanya apabila sejumlah harta berjuta Dolar milik rakyat Palestin telah disimpan di dalam akaun-akaun luar negara di atas nama Arafat.

Perbalahan dan juga permainan tarik tali di antara para pemimpin Fatah di dalam PA dengan isterinya telah menjadi perbualan dunia. Hasilnya perundingan di antara kedua belah pihak tersebut membawa kepada kelewatan pengisytiharan kematian Arafat sendiri. Hal ini bukanlah rahsia di kalangan rakyat Palestin yang diibaratkan seumpama "sudah jatuh ditimpa tangga". Para pemimpin yang diharapkan dapat memperjuangkan nasib mereka, bukan hanya meletakkan senjata semenjak Oslo 1993, malah telah menyalah gunakan wang rakyat dan menjadikan isu kemerdekaan Palestin sebagai alat untuk mereka membuat kekayaan.

Satu tindakan bijak oleh HAMAS ialah apabila mereka mendaftarkan diri di dalam pilihanraya perbandaran dan juga di dalam pilihanraya yang akan datang sebagai kumpulan " al-Islah wa al-Taghyir" (Refomasi dan Perubahan). Mereka juga menjadikan usaha "menghapuskan penyelewengan di dalam PA" sebagai motto utama di dalam kempen-kempen pilihanraya tempatan yang telah melalui pusingan keempatnya dan hanya menantikan siri terakhir pusingan keempat di bandar al-Khalil (Hebron).

Kenyataan media HAMAS yang mengatakan mereka tidak mahu menguasai PA, tetapi hanya mahukan pos-pos yang selalu berlaku penyelewengan untuk mereka perbaiki, bagaikan satu bonus kepada mereka dan menjadi kredit untuk dipilih oleh rakyat Palestin yang melihat mereka sebagai golongan yang tidak gilakan kuasa.

Dari sudut kelayakan mereka yang bertanding juga, ianya memberikan impak kepada sokongan yang bakal diberikan rakyat kepada HAMAS. Di dalam satu kajian yang dilakukan oleh Markaz al-Quds li al-I'laam (Institut Kajian al-Quds), yang berpusat di Ramallah ke atas 1199 responden dari seluruh Tebing Barat dan Gaza, lebih 91% daripada para pengundi yang layak mengundi akan memilih wakil mereka berdasarkan kelayakan akademik mereka. 89% responden pula memilih faktor populariti calon, manakala 83% pula memilih wakil yang beragama dan mempunyai akhlak yang baik.

Ternyata ketiga-ketiga faktor pilihan pengundi tersebut lebih berpihak kepada wakil-wakil HAMAS yang kebanyakkannya terdiri daripada para ahli akademik, lulusan universiti, profesional dan juga mereka yang mempunyai nama di kalangan rakyat kerana kerja-kerja kebajikan yang dilakukan. Manakala persoalan beragama, ianya bukan persoalannya di sini apabila nama HAMAS diperbincangkan. Maka di atas kriteria-kriteria inilah, ramai di antara penganalisis politik Palestin meletakkan anggaran bahawa calon HAMAS akan meraih kemenangan yang agak besar.

Perpecahan Fatah

Di satu sudut yang lain pula, Perpecahan dalaman gerakan Fatah yang semakin parah juga mempunyai impaknya yang tersendiri. Marwan al-Bargouthi telah mengemukakan senarai calon-calon pilihannya beliau sendiri untuk bertanding di dalam pilihanraya tersebut sejam sebelum tempoh pencalonan ditutup oleh suruhanjaya pilihanraya PA. Senarai yang dikemukan oleh Bargouthi ini adalah senarai yang berlainan daripada senarai yang dikemukakan oleh Mahmoud Abbas. Kebanyakan daripada calon-calon beliau adalah pemuda-pemuda Fatah yang berumur di dalam lingkungan 40'an yang dikenali sebagai " The New Guards". Ianya dianggap sebagai protes golongan pemuda Fatah terhadap golongan "Old Guards" yang dilihat oleh mereka sebagai golongan yang menguasai Fatah untuk kepentingan sendiri. Malangnya, di dalam senarai al-Bargouthi sendiri, terdapat juga nama-nama mereka yang terkenal sebagai koruptor di kalangan pimpinan PA, di antara mereka adalah Muhammad Dahlan, mantan menteri dalam negeri PA.

Hal ini benar-benar telah menggerunkan Mahmoud Abbas yang melihat fenomena itu sebagai bonus untuk kemenangan HAMAS secara mudah. Andaian beliau, jika undi Fatah terbahagi dua, maka pihak HAMAS yang merupakan pilihan utama rakyat Palestin tidak akan mempunyai pencabar yang terdekat. Tidak hairanlah sejurus setelah keputusan kajian yang dijalankan oleh Universiti al-Najah diumumkan, Mahkamah Palestin telah mengumumkan kebenaran untuk Fatah mengemukakan senarai calon mereka yang baru di Tebing Barat di dalam tempoh enam jam dan juga membatalkan senarai calon-calon mereka yang lama. Suasana ini telah digunakan oleh Mahmoud Abbas untuk menyatukan senarai di antara calon-calon beliau dengan calon-calon Marwan agar mereka bertanding di bawah lambang yang sama, iaitu Fatah.

Respon Zionis
Di dalam perkembangan yang lain pula, Al-Jazeera telah melaporkan di dalam satu kajian ringkas yang dilakukan oleh pihak media tempatan rejim Zionis pada 23 Disember 2005, 50% dari kalangan rakyat entiti haram tersebut bersetuju untuk kerajaan mereka melakukan rundingan damai dengan HAMAS sekiranya HAMAS memenangi pilihanraya legaslatif pada 25 Januari nanti. 47% pula menolak sebarang rundingan dengan pihak HAMAS, manakala yang selebihnya bersikap berkecuali. Hasil kajian ini amat bertentangan dengan pendirian kerajaan rejim yang menolak sebarang rundingan dengan pihak HAMAS yang didakwa mereka sebagai pengganas.

Hal ini juga menandakan bahawa pilihan Silvan Shalom, Menteri Hubungan Luar Zionis tidak begitu menjadi pilihan rakyatnya sendiri. Shalom, yang sekarang ini di dalam perjuangannya untuk menerajui kepimpinan Parti Likud setelah ditinggalkan vakumnya oleh Sharon, pada 17 Disember telah membuat kenyataan bahawa: "kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya akan datang akan meletakkan Israel di dalam keadaan 50 tahun yang lepas". Beliau juga menyokong tindakan AS yang menggugut rakyat Palestin agar tidak memberikan undi mereka kepada HAMAS di dalam pilihanraya berkenaan. Persoalannya kini, apakah benar HAMAS akan menjadi kuasa baru rakyat Palestin di pentas antarabangsa?, sama-samalah kita nantikan...

Penulis adalah seorang pensyarah di sebuah universiti tempatan.

www.harakahdaily.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home