Luar Negara

Israel serang kediaman pemimpin Palestin

Bandar Gaza 15 Dis. - Pesawat udara tentera Israel menyerang kediaman seorang pemimpin Palestin dan juga pejabat sebuah pertubuhan kebajikan Islam di Genting Gaza hari ini, mengakibatkan seorang terbunuh.

Serangan yang dilancarkan di Beit Lahiya dan Rafah itu adalah sama seperti serangan semalam yang membunuh empat anggota militan Palestin dekat sini.

Israel melancarkan serangan itu selepas pengebom berani mati Jihad Islam melakukan serangan hingga meragut lima nyawa rakyatnya minggu lalu.

Menurut saksi, bangunan tiga tingkat yang diserang di kampung Beit Lahiya itu adalah milik pemimpin Jawatankuasa Penentangan Popular (PRC), sebuah badan campuran puak militan Palestin yang sering melancarkan serangan roket ke atas Israel.

Bangunan tersebut mengalami kerosakan akibat kebakaran. Pemimpin militan Palestin itu terselamat daripada serangan tersebut tetapi seorang lagi penduduk Palestin cedera, kata anggota-anggota perubatan.

Sumber-sumber tentera Israel berkata, serangan udara itu disasarkan ke atas tempat simpanan senjata PRC.

Di Rafah, sebuah pesawat Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pejabat sebuah pertubuhan kebajikan yang ada hubungan dengan Jihad Islam tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Sumber-sumber tentera berkata, pejabat itu didakwa telah digunakan untuk menyerang wilayah Israel.

Terdahulu, pesawat-pesawat Israel turut melancarkan roket ke kawasan-kawasan terbuka di utara Gaza yang digunakan oleh puak militan Palestin untuk melancarkan serangan roket ke atas Israel.

Sumber-sumber tentera Israel mendakwa, tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu. - Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home