Luar Negara

Bukan Masjid Al-Aqsa Sahaja!

Sudah lali dengan umat Palestin di bunuh, sudah lali dengan statistik kematian umat Palestin, sudah lali dengan teriakan dan tangisan kanak2 yang terputus tangan akibat bedilan rejim Zionis. Sekarang masjid Palestin menjadi kandang binatang ternakan. Tidak cukup lagi, penerbit filem lucah bernafsu menjadikan masjid Palestin lokasi pengambaran. Kenapa marah ? Kenapa emosi ? Maszlee Malek melaporkan ...

Jika anda menyangkakan hanya masjid al-Aqsa yang ingin dirobohkan oleh rejim Zionis demi membina kuil (Haykal) mereka, anda tersilap. Jika anda menyangkakan juga bahawa rejim Zionis tidak akan melakukannya, anda sekali lagi telah melakukan kesilapan yang amat besar. Mengapa?

Hakikat sejarah yang tidak dapat dinafikan mengenai rejim Zionis ialah, semenjak tahun 1948 lagi, Zionis telah menghancurkan ratusan masjid dan gereja yang berada di atas bumi Palestin.

Usaha mereka untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa hanyalah sebahagian daripada usaha berterusan yang telah mereka lakukan semenjak bertahun-tahun lamanya di dalam meniti agenda untuk menghilangkan langsung identiti Islam dan Arab dari muka bumi Palestin, terutamanya dari muka bumi Baitul Maqdis, ataupun yang lebih dikenali sebagai al-Quds.

Hal tersebut telah ditegaskan di dalam laporan Al-Aqsa Foundation, sebuah yayasan yang bergerak untuk memantau dan menjaga tempat-tempat suci umat Islam di Palestin dan di Baitul Maqdis secara khusus.

Laporan al-Aqsa Foundation

Laporan yang disediakan oleh Al-Aqsa Foundation itu telah menyebutkan bahawa tempat-tempat suci umat Islam dan Kristian telah banyak yang dimusnahkan di bawah pendudukan Rejim Zionis yang ingin memusnahkan identiti bangsa Palestin, samada yang berbentuk Islam mahupun Kristian. Pada tahun 1948 sahaja, Rejim Zionis telah menghancurkan lebih daripada 200 buah masjid di seluruh Palestin.

Lebih dahsyat lagi, Rejim Zionis telah menderafkan undang-undang khusus untuk menghalalkan usaha perampasan tanah-tanah wakaf milik umat Islam oleh mereka. Lebih daripada itu, sepertimana yang disebutkan di dalam laporan Al-Aqsa Foundation berkaitan perkara tersebut, mereka telah mendedahkankan bagaimana rejim Zionis telah merobohkan 18 bangunan masjid dan kemudiannya dibina sinagog (kuil Yahudi) di atas tapak masjid-masjid tersebut.

Di dalam perkembangan yang lain pula, 16 masjid lainnya telah diubah suai menjadi kandang peternakan lembu, kelab-kelab malam, pusat pelacuran dan restoran. “Masjid-masjid di Queseria, Ashkelon dan Eid Hud yang berada di dalam tanah Palestin yang dijajah (Israel) telah diubah menjadi kelab malam-kelab malam,” menurut laporan itu lagi.

Perobohan di atas nama undang-undang

Dua masjid di Safd dan Akka diubah menjadi kandang penternakan lembu, manakala 41 masjid yang lain pula telah ditutup, dan yang paling menjijikan, pihak berkuasa rejim Zionis juga telah memberi keizinan kepada penerbit-penerbit filem lucah untuk melakukan penggambaran aksi-aksi seks di salah sebuah masjid yang telah disita oleh mereka (Zionis) di daerah Safd. Selain mencemarkan tempat-tempat ibadah umat Islam, rejim Zionis juga merampas tanah-tanah wakaf milik umat Islam dengan dalih bahwa tanah-tanah itu sudah lama tidak berpenghuni.

Dengan menggunakan undang-undang kepemilikan tanah tahun 1950 yang mengatakan bahawa kerajaan Zionis berhak merampas pemilikan rakyat Palestin yang terbiar, pihak rejim telah merampas banyak tanah-tanah wakaf milik rakyat Palestin. Undang-undang yang zalim ini sengaja diluluskan oleh Knesset rejim Zionis untuk memungkinkan mereka merampas tanah-tanah milik rakyat Palestin di Al-Quds dan wilayah lainnya.

Laporan itu juga menyatakan, para ekstrimis Yahudi terus melakukan kerosakan terhadap tempat-tempat suci milik umat Islam di depan mata pemerintah Rejim Zionis, tanpa ada sebarang tindakan dikenakan ke atas mereka. Menurut laporan tersebut : “Para ektrimis Yahudi telah mengubah masjid menjadi sinagog (kuil Yahudi) dengan berbagai alasan, seperti yang terjadi pada masjid di daerah Tabariya.” Sehingga kini, usaha menghancurkan masjid-masjid oleh rejim Zionis masih berlaku dan tiada sebarang tindakan diambil oleh umat Islam dari serata dunia. Usaha-usaha tersebut samada dilakukan oleh pihak kerajaan rejim Zionis secara rasmi ataupun melalui usaha kumpulan-kumpulan ekstrimis.

Sebagai contohnya, baru-baru ini, pemerintah Rejim Zionis mengisytiharkan rancangan mereka untuk merobohkan sebuah masjid yang berada di dalam daerah Baitul Maqdis, yang sudah berdiri sejak 20 tahun lalu. Demi untuk merobohkan masjid tersebut, mereka telah mengemukakan alasan-alasan yang tidak munasabah dan tidak kukuh.

Pada hakikatnya, usaha merobohkan masjid tersebut dilakukan adalah sebagai sebahagian daripada strategi mereka ke arah menghapuskan identiti Islam dan Arab dari kota itu dan juga sebahagian daripada usaha mereka untuk mengyahudikan Baitul Maqdis yang mereka panggil sebagai "Urshalem".

Masjid yang telah dirobohkan itu dikenali sebagai Badr, dan telah dibina semenjak tahun 1986 dan diltekkan di bawah pengurusan jabatan waqaf umat Islam di dalam kawasan bumi Palestin yang dijajah (Israel). Jabatan Waqaf bertanggungjawab menjaga dan memantau tanah-tanah waqaf dan juga tempat-tempat suci umat Islam di dalam daerah Al-Quds. Malangnya, apabila pihak rejim telah meluluskan pelan perobohan masjid Badr, jabatan Waqaf itu tidak pula dirujuk, malah jabatan tersebut juga tidak boleh melakukan apa-apa tindakan apabila usaha perobohan itu dilakukan.

Laporan media Yahudi

Fakta berkaitan usaha merobohkan masjid-masjid milik umat Islam ini bukan hanya didedahkan oleh umat Islam sahaja, malah media-media Yahudi pun turut melaporkannya. Jika kita hanya melaporkan fakta-fakta ini dari sumber umat Islam sahaja, barangkalai ada yang akan mengatakan ianya bias dan juga kemungkinan berlaku penambahan dan penyelwengan fakta. Berikut ini dipaparkan pula laporan yang telah diambil dari laporan media-media Yahudi di dalam bumi Palestin yang dijajah (Israel)...

Sebagai contohnya: Akhbar "Israel Haaretz" pada 16 September 2005 telah mendedahkan fakta yang disembunyikan oleh kerajaan rejim Zionis mengenai nasib 34 masjid yang telah diubah menjadi sinagog Yahudi dan muzium selaras dengan fakta yang telah didedahkan oleh al-Aqsa Foundation. Mereka telah melakukan kajian yang lebih terperinci dengan mendedahkan bagaimana sebahagian masjid yang lain pula telah ditukarkan menjadi tempat tinggal keluarga Yahudi ekstrimis dan juga kadang kuda dan kandang lembu milik orang Yahudi.

Di dalam laporan yang sama juga didedahkan bagaimana dua masjid yang lain pula telah diubah menjadi kafe dan sebuah masjid yang lain pula ditukarkan menjadi rumah pelacuran. Haaretz juga melaporkan tentang 39 masjid lain telah ditinggalkan terbiar kerana tidak boleh dimasuki oleh warga Palestin kerana dihalang oleh pihak berkuasa rejim Zionis.

Maklumat yang dirahsiakan

Di dalam laporan yang lain pula, seorang wartawan Israel, Miron Rabobort mengatakan bahwa beliau telah berhasil mendapatkan maklumat dari kerajaan rejim Zionis dari sumber-sumber rasmi mengenai masjid-masjid tersebut, namun semua usahanya itu tidak mencapai klimaksnya apabila semua maklumat dan pengurusan masjid-masjid tersebut telah dipindahkan ke pihak yang lebih tinggi. Hasilnya, laporan tersebut tergantung, di samping sikap pihak berkuasa yang enggan bekerjasama dan menyifatkan segala maklumat berkaitan sebagai "terlampau sulit".

Maklumat mengenai pemusnahan masjid-masjid tersebut dulunya berada di bawah pengurusan Jabatan keagamaan Israel itu kemudiannya telah dipindahkan ke sebuah jabatan khas di bawah administrasi Perdana Menteri secara langsung. Ketika Rabobort mengajukan pertanyaan kepada setiausaha jabatan berkenaan, mereka mengatakan bahawa perdana menteri dikatakan bahwa tanggung jawab sepenuhnya ke atas tempat-tempat suci tersebut.

Robobort juga berjaya mendapatkan maklumat mengenai dua buah masjid di daerah tengah Baitul Maqdis yang telah diubah menjadi sinagog. Beliau juga telah berjaya mendapatkan maklumat mengenai dua masjid di dua tempat yang berlainan di dalam kota Tel Aviv yang menerima nasib yang hampir sama. Salah sebuah masjid tersebut telah dugunakan sebagai kelab malam pemuda-pemuda Yahudi. Masjid yang kedua pula telah ditukarkan sebagai sinagog. Maklumat mengnai kedua-dua masjid ini tidak terdapat di dalam laporan yang ditulis Ha'aretz mahupun laporan al-Aqsa Foundation.

Nas Tsunami

Seorang wartawan alternatif Yahudi, Afner Kahanof juga telah menemukan maklumat yang lebih menarik atau dahsyat di sebuah tempat yang bernama Nas Tsunami. Ianya adalah sebuah kampung yang didiami oleh rakyat Palestin sehingga perang tahun 1948 dan merupakan sebuah kawasan yang padat dengan penduduk sepertimana yang telah dinyatakan di dalam laman web rasmi Dewan Bandaraya Nas Tsunami sekarang ini.

Menurut Kahanof, Nas Tsunami dahulunya merupakan sebuah kampung Arab yang didirikan pada tahun 30-an. Lebih kurang seribu orang warga Arab (Palestin) telah menetap di sana dan mereka telah membina sebuah masjid yang besar untuk kegunaan penduduk kampung itu semenjak tahun 1934 lagi. Menurut Kahanof, masjid tersebut kini telah ditukarkan menjadi sinagog bagi pengikut gerakan Shas setelah penduduk Arab semuanya telah dibunuh dan diusir keluar dari kampung tersebut.

Kahanof telah menemuramah salah seorang warga veteran Yahudi Nas Tunami yang telah menjelaskan hal ini dengan mengatakan: “Pada 15 Mei 1948, penduduk Yahudi dari kampung Ta'awunia berkumpul di Nas Tsunami dan mengepung masjid yang telah ditinggalkan oleh warga Arab yang telah dibunuh dan diusir keluar dari kampung tersebut untuk dirobohkan sebagai tanda kemenangan kaum Yahudi ke atas kampung itu.

Penduduk Nas Tsunami telah berteraburan meninggalkan kampung halaman mereka akibat diusir oleh para pengganas Yahudi dan meninggalkan harta benda mereka demi menyelamatkan nyawa. Kami (warga Yahudi) telah mengepung masjid sebagai kemuncak usaha kami menawan kampung itu. Sebahagian daripada anggota briged Balmakh (sayap ketenteraan pertubuhan pengganas Yahudi yang bernama Hagana) menaiki menara masjid, mengikatnya dengan tali dan kemudian menariknya sehingga roboh ke tanah".

Menurut Kahanof, Orang ini mengatakan bahawa beliau merasa amat malu atas apa yang dilihatnya, namun beliau tidak dapat melakukan apa-apa dan hanya mengikuti kehendak majoriti penduduk Yahudi sehingga hari ini.

Kahanof juga telah melaporkan mengenai keadaan di Tel Aviv dan al-Quds, menurtnya : "Barang siapa yang berjalan di jalan lama di antara Tel Aviv dan al Quds (Baitul Maqdis) akan dapat melihat bangunan “al Qibab” yang terletak di tepi jalan berdekatan dengan gerbang masuk ke dalam kawasan yang menghadap ke kawasan perindustrian di Cholon".

Bangunan "al-Qibab" itu pada asalnya merupakan masjid yang telah dirobohkan untuk pembinaan jalanraya itu yang pada akhirnya hanya meninggalkan kubahnya sahaja. Amat menyentuh perasaan apabila sesiapa melalui kawasan tersebut dengan menyaksikan bangunan kubah separuh tiang itu terpacak di sebelah bahu jalan dengan bahagian masjid yang besarnya bagaikan ditelan tanah.

Berdekatan dengan bangunan tersebut terdapat sebuah bangunan lain yang agak terlindung. Menurut laman web rasmi Dewan Bandaraya Ezor, seperti yang dilaporkan juga oleh laman web rasmi "Yazor Palestin" di internet (laman web yang memuatkan perihal sejarah Palestin pra-1948), bangunan ini pada asalnya merupakan sebuah masjid yang telah dibangunkan pada abad ke-12. Masjid itu kemudiannya telah dirampas oleh orang-orang Yahudi dan ditukarkan menjadi sinagog Yahudi usai perang 1948 dan telah ditukarkan namanya menjadi “pintu-pintu Zion”. Pada hari ini, bangunan tersebut merupakan sinagog yang dikenali oleh ramai dengan nama tersebut (pintu-pintu Zion) dan ramai yang tidak mengetahui bahawa ianya merupakan masjid sebelum ditukar menjadi sinagog.

Kahanof juga mengatakan bahawa tembok-tembok bangunan itu telah diubah suai dengan ukiran atau bentuk bangunan-bangunan lama yang terdapat di Baitul Maqdis. Kahanof juga telah mengemukakan laporan mengenai masjid di kampung Kafer Shaleem yang telah ditukar menjadi bangunan terbiar dan tempat berkumpulnya pemuda-pemuda Yahudi melakukan aktiviti yang tidak sihat. Terdapat inisiatif dari beberapa individu Islam untuk memulihkan bangunan tersebut menjadi masjid semula, sayangnya ia hanya menemukan kegagalan.

Masjid-masjid yang dihancurkan ini hanyalah sebahagian daripada usaha Rejim Zionis di bumi Baitul Maqdis untuk menghancurkan masjid-masjid lain. Matlamat mereka yang utama, seperti yang telah disebutkan pada permulaan artikel ini, adalah untuk merobohkan masjid Al-Aqsa, yang merupakan tempat suci ketiga umat Islam setelah masjid Haram di Mekkah dan masjid Nabawi di Madinah.

Para arkeologis dari Palestin dan Jordan melahirkan kekhuatiran mereka terhadap kekuatan asas binaan masjid Al-Aqsa dewasa ini yang semakin rapuh akibat penggalian berterusan yang dilakukan oleh Rejim Zionis. Akibat penggalian itu, masjid Al-Aqsa berada di dalam keadaan yang amat bahaya dan terdedah untuk roboh jika terjadinya gempa ataupun sebarang gegaran yang kuat. Sememangnya inilah yang diinginkan oleh pihak rejim di sebalik penggalian terowong-terowong yang telah menjangkaui 488 meter sehingga tahun 2001. Mereka beralasan bahawa penggalian itu bertujuan untuk mencari kesan-kesan kuil (haykal) Yahudi yang telah dibina oleh Sulaiman A.S. suatu waktu dahulu.

Hakikatnya, bukanlah kuil lama yang mereka cari, tetapi ianya merupakan langkah pertama untuk mereka membina kuil yang baru di tapak tersebut. Ramai dari kalngan ahli arkeologi dan juga ahli sejarah yang bukan pro-Zionis telah menafikan kewujudan kuil yang mereka dakwa tersebut.

Persoalan yang timbul kini, di manakah umat Islam di seluruh dunia ketika masjid-masjid ini dirobohkan?, adakah para pemimpin Islam hanya sekadar memerhatikan, dan kemudiannya menyerahkan tanggung jawab mempertahankan masjid-masjid, terutamanya masjid al-Aqsa di bahu rakyat Palestin sahaja?,

bukankah masjid merupakan rumah Allah, malah al-Aqsa merupakan kiblat pertama, masjid ketiga suci dan juga bumi Israk dan Mikraj?, adakah sehingga hancur semua masjid di bumi Palestin, dan juga apabil al-Aqsa telah berubah menjadi kuil Yahudi yang dipanggil sebagai HaMikdash barulah umat Islam hendak tersentak?, jangan banyak dalih lagi, mulakan usaha kita sekarang!!!

*** Sebuah dokumentari berhubung isu ini telah dihasilkan oleh Palestinian Return Centre yang berpusat di UK di bawah tajuk: "Mosques under the face of destruction".

www.tranungkite.net

0 Comments:

Post a Comment

<< Home