Luar Negara

Masjid al-Aqsa Tunggu Masa Roboh: Mufti

BAITULMAQDIS: Masjid al-Aqsa - tempat suci ketiga Islam selepas Makkah dan Madinah, mula mengalami keretakan serius dan boleh runtuh pada bila-bila masa akibat kegiatan Israel mengorek lubang bawah tanah di kawasan berkenaan sejak 1967.

Mufti al-Aqsa, Sheikh Ikrama Sabri, berkata keretakan paling jelas dilihat pada tembok penanda garis sempadan kawasan Haram al-Sharif, iaitu meliputi banyak tempat di Masjidil Aqsa dan Bandar Lama yang melingkunginya sejak dicerobohi rejim Zionis.

“Kesan retakan besar dapat dilihat pada tembok terbabit kerana kerja mengorek dilakukan rejim Yahudi sejak 1967,” katanya kepada stesen televisyen al-Jazeera, Sheik Ikrama.

Beliau menuduh Israel cuba merosakkan Masjid al-Aqsa dengan menghalang kerja pembaikan bangunan berkenaan.

Katanya, Israel menggunakan peralatan berat bagi mengorek kawasan itu atas alasan mencari bukti kewujudan kuil Yahudi sebelum pembinaan al-Aqsa.

Dalam laporan berasingan, sebuah akhbar Yahudi turut mendedahkan bahawa sebahagian besar tembok atau dinding Masjid al-Aqsa yang dibina pada abad ke-16 di sekeliling Bandar Lama di Baitulmaqdis, akan runtuh jika tidak diperbaiki segera.

Kajian kejuruteraan yang dilakukan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel mendedahkan 380 meter atau satu persepuluh daripada tembok masjid itu boleh runtuh pada bila-bila masa.

Sementara itu, Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Sheikh Yousef Salama dan Ketua Hakim Palestin, Tayseer Al Tamimi menuntut Israel bertanggungjawab atas kerosakan Masjidil Aqsa dan Bandar Lama di Baitulmaqdis. Pusat Akhbar Antarabangsa Palestin (IPC) memetik Sheikh Yousef sebagai berkata, Israel melakukan kerja menggali secara sesuka hati di Baitulmaqdis termasuk di bawah al-Aqsa.

Beliau menggesa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Jawatankuasa Baitulmaqdis OIC dan negara Islam menekan negara Yahudi itu supaya berhenti merosakkan tempat suci ketiga Islam itu. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment

<< Home