Luar Negara

Tentera AS Terus Buru Pejuang Iraq

BAGHDAD: Tentera Amerika semalam mengesahkan 50 pemberontak dibunuh manakala 15 rakyat Iraq terkorban termasuk sembilan askar negara itu dalam tiga serangan pemberontak di timur, utara Baghdad dan Zon Hijau semalam.

Jurucakap polis, Kapten Haider Ibrahim berkata serangan di timur disasarkan ke atas kumpulan polis yang bersarapan di sebuah restoran.

Katanya, dua pegawai polis terkorban manakala empat lagi cedera.

Sehingga semalam, tentera Amerika dan pasukan Iraq masih meneruskan operasi di sempadan Syria sekalipun pemimpin Sunnah Arab mendesak ia dihentikan untuk menggalakkan lebih ramai jumlah pengundi pada pilihan raya bulan depan.

Dalam serangan di Kirkuk pula, sembilan polis terbunuh manakala sembilan cedera apabila sebuah bom meletup di jalan di bandar minyak itu.

Jurucakap polis, Kolonel Burhan Habib mengesahkan angka berkenaan kepada AFP. Kejadian itu berlaku tidak sampai sejam selepas empat polis terkorban di timur Baghdad.

Tentera Amerika mengesahkan dua anggota Marin terkorban dan sekurang-kurangnya tujuh cedera dalam pertempuran di Obeidi, kata wartawan New York Times.

Serangan di Zon Hijau pula membabitkan letupan ke atas kereta di pintu utama dikawal ketat. Dua warga Afrika Selatan maut manakala tiga lagi cedera.

Mangsa bekerja dengan unit keselamatan Jabatan Negara Amerika dan kontraktor AS, DynCorp International, kata Kedutaan Amerika.

Serangan di Obeidi adalah tindak balas terbaru dikatakan dilakukan al-Qaeda ke atas bandar berhampiran Sungai Furat.

“Kira-kira 50 tentera pemberontak berjaya dibunuh dalam pertempuran,” kata kenyataan Amerika. Kebanyakan tentera pemberontak mati dalam sekurang-kurangnya lima serangan udara Amerika. – AFP/AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home