Luar Negara

20 Sasaran Awam Thai Diserang

NARATHIWAT 8 Okt. (Utusan Malaysia) - Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala dua lagi cedera dan berpuluh-puluh suspek pemisah Islam ditangkap selepas pemberontak melancarkan serangan ke atas lebih 20 sasaran kerajaan di wilayah Yala, di selatan Thailand sepanjang malam tadi.

Berpuluh-puluh anggota militan melancarkan serangan yang diselaraskan ke atas balai polis, sekatan jalan dan juga sekolah di wilayah Yala, kata ketua polis wilayah itu, Mejar Jeneral Paitoon Choochaiya.

Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra kembali daripada lawatan singkat ke Narathiwat.

Menurut Paitton, seorang anggota polis dan dua suspek militan terbunuh di Yala.

Terdahulu, menurut pihak berkuasa, lima orang terbunuh di Yala dan seorang lagi di wilayah jiran Pattani.

Bagaimanapun Paitoon menolak spekulasi bahawa serangan itu bertujuan untuk mencabar Thaksin yang melawat Narathiwat untuk menghadiri satu majlis agama Buddha.

Thaksin berkata dalam pertemuannya dengan para pemberita hari ini bahawa kerajaannya akan meneruskan operasi bagi menumpaskan kegiatan puak militan Islam di selatan Thailand.

``Saya berpuas hati dengan pencapaian malam tadi. Ramai anggota militan telah ditangkap. Kami akan meneruskan kerja kami,'' katanya.

Sementara itu, pengarah urusan sebuah syarikat penerbitan akhbar tempatan, Abdullah Mama, 37, mati selepas ditembak lima kali oleh penyerang-penyerang yang mengekorinya dengan sebuah van pikap di bandar Sungai Golok di wilayah Narathiwat lewat semalam, kata polis.

Pembunuhan Abdulloh berlaku seminggu selepas pemilik sebuah akhbar di bandar peranginan Pattaya, 150 kilometer ke timur Bangkok, dibunuh.

Santi Lammaninin, 38, ditembak mati dan mayatnya ditinggalkan dalam kereta BMW miliknya di tepi jalan di luar Pattaya. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home