Luar Negara

Krisis Selatan Thai:Malaysia Didesak Lebih Proaktif

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Hrkh) - Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM) diminta meyakinkan dunia untuk memberi tekanan politik kepada Thailand ekoran pergolakan berterusan di selatan negara itu.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, berkata sudah sampai masanya Malaysia memaksimumkan peranannya untuk meyakinkan dunia kerana apa yang berlaku di selatan Thai itu sebenarnya bukanlah satu usaha untuk memerangi keganasan, tetapi lebih kepada usaha 'pemisahan etnik' dan pembunuhan beramai-ramai.

"Malaysia perlu meyakinkan dunia antarabangsa bahawa apa yang berlaku di selatan Thai itu lebih kepada keganasan terhadap etnik serta melanggari prinsip hak asasi manusia. Sekiranya Malaysia dapat meyakinkan dunia tentang perkara sebenar, maka mudahlah Thailand dikenakan tekanan politik, " tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Palimen Kubang Kerian juga menegaskan, krisis ini telah berlarutan hampir dua tahun dan Malaysia tidak seharusnya mendiamkan diri tentang kesengsaraan yang dihadapi umat Islam di selatan Thailand itu.

Mengulas lanjut tentang hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu, beliau menegaskan itu bukanlah alasan yang baik untuk tidak berbuat apa-apa dalam usaha menangani krisis tersebut.

Katanya, dalam isu ini Thailand juga perlu menghomati pandangan yang dikemukakan oleh mana-mana negara, termasuk Malaysia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara-negara Asean terpelihara.

"Malaysia bukan bertujuan untuk campur tangan berhubung krisis ini, tetapi lebih kepada memelihara dan menjaga kepentingan hak asasi manusia," jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, katanya peranan Malaysia yang boleh dimainkan itu lebih ke arah menggunakan hubungan diplomatik dan dari segi pinsip hak asasi bagi menyelesaikan konflik berkenaan. - Anis Nazri

0 Comments:

Post a Comment

<< Home